Utama > Genius?, Isu Semasa, Jarang ditemui, Perjalanan Hidup, santai, Tazkirah, Teladan Hidup > Intro : Halalkah makanan yang menjadi darah daging kita?

Intro : Halalkah makanan yang menjadi darah daging kita?

Rasulullah bersabda, Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih. Kedua- dua ibubapalah yang menentukan menjadi Yahudi, Kristian dan Majusi (Riwayat: Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ibu bapa menjadi isu utama dalam mencorak dan menentukan sama ada anak itu berpotensi menjadi baik atau sebaliknya. Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat sebahagian ibu bapa yang bersungguh-sungguh membimbing anak dan keluarga mereka ke arah menjadi manusia yang berguna tetapi tidak mencapai matlamatnya.

Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan dan panduan yang baik bagi menganalisis mengapa terdapat manusia bertindak liar, kejam dan jahat. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Taala itu baik, Dia tiada akan menerima melainkan yang baik saja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Rasul”.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, :Rasulullah SAW bersabda:

“Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.

Firman-Nya: 

“Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Mukminun:51)

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…”(al-Baqarah:172)

Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.”

(Riwayat: Muslim).

Berdasarkan dalil di atas jelas bahawa pemakanan halal dan baik akan bertindak sebagai motivasi kepada manusia untuk melakukan perbuatan yang selari dengan perintah Allah. Oleh sebab itu Allah memerintahkan Rasul, Nabi dan umat masing-masing membiasakan diri dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan pemakanan yang halal dan baik.

Makanan dan minuman yang halal dan baik itu menjadi punca kebersihan akal, jiwa dan batang tubuh manusia. Mereka yang membesar dan berkembang dengan sumber makanan halal dan baik akan mendorong mereka lebih berhati-hati jangan sampai terlanjur melakukan perbuatan budaya berdosa. Jika terlanjur pun dia akan segera menyesali dan bertaubat nasuha. Begitulah hebat dan mujarabnya kesan makanan halal kepada akal, jiwa dan fizikal manusia.

Dengan demikian mereka yang membiasakan diri dengan rezeki halal kuat beribadah dan menjalankan perintah Allah dengan tekun. Mereka lebih yakin dengan kehidupan kerana memperoleh ketenangan dan kedamaian selari dengan keistimewaan makanan halal yang dijamin Allah.

Manakala sumber makanan haram atau bercampur aduk antara halal dan haram sudah pasti merosakkan akal dan jiwa. Mereka senang digegarkan oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Mereka lupa bahawa sesuap rezeki yang haram memasuki tubuh manusia akan menjadi darah daging di dalam tubuhnya dan akan kekal di situ buat selama-lamanya. Semakin dilalaikan semakin banyaklah yang haram meneroka ke dalam tubuh badan dan menjalar merosakkan fungsi akal dan jiwa.

Oleh sebab itu dia tidak boleh lagi membezakan perkara baik dan buruk, malah cenderung melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah. Dengan lain-lain perkataan akal dan jiwa itu telah digilap oleh persatuan dan susila yang salah. Malah perbuatannya mirip kepada habitat binatang dan syaitan seperti bersifat ganas, samseng dan tidak bersifat kemanusiaan. Oleh sebab itu Allah tidak menerima doa daripada mereka yang bersifat demikian.

Apa yang nyata mereka yang mempunyai akal dan jiwa tercemar sentiasa berada dalam keadaan cemas, gelisah dan hidup sentiasa tertekan kerana sumber motivasi hidupnya berada di laluan yang salah dan gagal memenuhi piawaian fitrah penciptaan manusia.

Jika tekanan hidup ini berterusan, maka ia akan menjejaskan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti mengalami pelbagai penyakit kronik yang sukar diubati.

Kajian perubatan telah mengesahkan bahawa tekanan hidup yang berterusan menjejaskan kesejahteraan manusia. Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat bahawa sumber rezeki mempengaruhi akhlak manusia.

Oleh itu untuk kebaikan zuriat, keluarga dan survival akhlak keturunan, maka ibu bapa dan umat Islam seluruhnya hendaklah memastikan sumber rezeki harian itu adalah halal.

Dalam Ihya ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali tentang kesan makanan yang haram kepada zuriat iaitu anak-anak :

“Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak mereka dilahirkan. Makanan yang halal selain daripada menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya anak akan menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang kotor”

Pentingnya memberikan makanan yang betul-betul halal untuk zuriat kita kerana itu akan menjadi darah daging mereka. Inilah peranan ibubapa yang sebenarnya kerana tanggungjawab ini terpikul di atas bahu-bahu kita yang bergelar ibubapa. Kekadang kita mengambil mudah perkara ini, tetapi perkara inilah yang sebenarnya akan membentuk anak-anak kita nanti.

Islam cukup syumul kerana mengajar kita dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Begitu juga soal makan amat dititikberatkan di dalam Islam sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ahmad, Nasai’e, dan Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia (makan) memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman, dan sepertiga nafasnya.”

Sekiranya umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan, dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan tersebut adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan air, dan sepertiga lagi untuk bernafas. Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab-adab ini, akan menyukarkan kita bernafas, lemah daya fikir, dan mendatangkan mudarat pada diri kerana berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, dan banyak makan itu ibu segala penyakit.

Kita perlu makan! Bukan bermakna menjaga makan kita langsung tidak makan, tetapi harus berhati-hati dengan makanan yang kita pilih. Kita perlu titikberatkan status halal makanan kita kerana ia akan menjadi darah yang mengalir 24 jam dalam badan kita dan menjadi daging yang melekat di tulang-tulang kita yang sentiasa bersama kita dan sebati dengan diri kita. Makanan juga akan membentuk akhlak kita. Makanan-makanan yang tidak halal dan kotor akan merosakkan akhlak kita maka akan muncul lah gejala-gejala sosial yang tidak tergambar di fikiran kita akan berlaku.

Sains iktiraf kaedah sembelih Islam

Oleh W. Rahimah Draman
Utusan Malaysia, 24 Jun 2008

SEDARLAH, apa yang kita makan, minum dan guna pakai setiap hari sepanjang hidup akan mencorakkan amalan dalam budaya, moral, sosial dan akhlak hidup serta tahap iman seseorang.Jika makan dan minum yang menjadi darah daging dalam badan kita halal dan toyyiban (baik, bersih dan selamat), fitrahnya akan baik dan tinggilah akhlak, moral dan sosial hidup sehariannya serta akan bersinarlah cahaya keimanan.Namun, apabila apa yang masuk dan diisi ke dalam perut itu tidak bersih dan tidak selamat kerana menyalahi syarak timbullah pelbagai masalah akhlak, moral dan budaya hidup negatif sebagaimana yang banyak melanda ummah sekarang. 

Allah SWT berfirman dalam mafhumnya antara lain: Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mu. (al-Baqarah: 168).

Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (al-Baqarah: 172).

Islam mensyaratkan hanya makanan (termasuk minuman) yang halal lagi toyyiban sahaja untuk dimakan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman.

Ini kerana dalam makanan kata Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Yaakob Che Man, hanya datang dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan.

Katanya, berdasar kajian sains, makanan dari sumber haiwan iaitu daging adalah bahan paling mudah dicemari bakteria negatif dan boleh merosakkan sistem tubuh badan manusia.

“Berbeza dengan makanan berasaskan tumbuhan, di mana bakteria yang mencemarinya adalah dari jenis positif yang kurang memberi impak terhadap sistem dalam tubuh badan,” jelasnya.

Persoalannya, sejauh mana keprihatinan kita terhadap tahap halal dan toyyiban sumber serta cara pemerosesan daging ternakan yang dimakan? Dalam Islam, daging ternakan halal dan toyyiban (kecuali babi dan keturunannya) hanya dengan satu jalan iaitu mesti disembelih mengikut hukum syarak.

Perintah suruhan menyembelih ternakan untuk dimakan termaktub dalam al-Quran yang mafhum-Nya: Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya. Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas mu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya… (al-An’aam: 118-119).

Soalnya, bagaimana untuk memastikan daging sama ada segera atau siap proses yang dijual itu disembelih serta menepati rukun sembelihan mengikut syarak?

Dr. Yaakob berkata, setiap individu perlu faham secara mendalam dan mengutamakan konsep serta roh halal dan haram yang ditetapkan Islam.

Katanya, setiap Muslim perlu tahu hak-hak ditetapkan agama dan orang bukan Islam mesti menghormatinya. Ini kerana kira-kira 16 juta penduduk Malaysia dan 1.8 bilion penghuni dunia adalah Muslim yang mengharapkan bekalan daging halal.

Ternakan dan penghasilan daging halal tegas beliau, punya prospek perdagangan yang besar lagi luas dan konsep halal serta toyyiban penting dan telah mendapat perhatian negara pengeluar seluruh dunia.

“Bagaimanapun tahap kesedaran, kefahaman dan keprihatinan yang lebih tinggi perlulah ada dan diamalkan kalangan pengguna Muslim sendiri,” ujarnya.

Beliau memberitahu demikian dalam syarahan mengenai Isu halal haram hari ini dari perspektif syarak, perdagangan dan sains pada Kursus Penyembelihan Halal 2008 kelolaan IPPH, UPM, baru-baru ini.Kursus dua hari usahasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian UPM itu diadakan khas untuk para pengusaha rumah sembelihan, penternak dan pemilik ladang ternakan dan individu di seluruh negara. Program tahunan IPPH itu terhad kepada 35 peserta sahaja. 

Menurut Dr. Yaakob, kebaikan sistem sembelihan yang digariskan oleh Islam dalam menghasilkan daging halal lagi toyyiban untuk tubuh badan manusia telah diakui oleh hasil kajian sains.Sementara itu, Pengarah Bahagian Diagnostik dan Kepastian Kualiti Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia, Dr. Muhamad Kamarulzaman Muhamad Sharif berkata, penggunaan kaedah stunning yang dilaksanakan di rumah-rumah sembelihan komersial moden khasnya di negara Barat, terutama dalam penggunaan mekanikal kini dikaji semula, meskipun Majlis Fatwa Malaysia menghalalkannya.

Ini kerana, proses sembelihan komersial untuk perdagangan, ternakan ruminan (meragut) terutamanya perlu melalui proses stunning yang menyebabkan haiwan terkena renjatan elektrik bagi melemahkan sistem saraf sebelum memasuki proses sembelihan yang juga secara elektrikal (mekanikal stunner).

Sebab itu kata beliau, sesetengah negara Barat yang prihatin dengan kebajikan haiwan telah menolak penggunaan sistem stunning yang disifatkan proses penyeksaan dan tekanan ke atas haiwan sebelum disembelih.

Menurut Dr. Muhamad Kamarulzaman, negara Barat baru sedar kesan tekanan yang ditanggung haiwan dalam proses tersebut dan pentingnya menjaga keselesaan haiwan semasa proses penyembelihan bagi menjamin daging berkualiti.

Sedangkan Islam kata beliau, sudah menggariskan konsep penyembelihan yang tidak menyeksa dan menjejaskan psikologi haiwan sembelihan lebih 14 abad lalu.

Sebab itu Islam menetapkan rukun-rukun sembelihan iaitu wajib disembelih oleh orang Muslim (dengan niat semata-mata kerana Allah), mengguna pisau yang tajam (alat penyembelih), binatang yang halal dan mesti memutuskan dua urat saraf iaitu halkum (saluran pernafasan) dan marikh (saluran makanan).

Penentuan halal dan toyyiban bagaimanapun tidak hanya sekadar memenuhi rukun sembelihan tetapi turut melibatkan sumber pemakanan ternakan, peralatan sembelihan, kawasan pemerosesan, bahan pembungkusan, urusan pengangkutan dan cara penyediaan yang bebas dari sumber tidak halal.

Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah (haram juga menurut ayat ini daging yang berasal dari sembelihan yang menyebut nama Allah tetapi disebut pula nama selain Allah]. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 173).

Maklumat asas sembelihan dan daging halal yang toyyiban:

A: Di ladang:
– Mengguna sumber pemakanan yang halal.

B: Proses Sembelihan;
1. Haiwan berpuasa (tidak diberi makan) menjelang sembelihan.
2. Haiwan tidak tersiksa dan tertekan.
3. Haiwan disirami air dan rehat yang cukup.
4. Haiwan tidak mati sebelum disembelih.
5. Hanya Muslim sebagai penyembelih.
6. Dua urat saraf di leher – saluran pernafasan (halkum) dan saluran makanan (marikh) di leher haiwan benar-benar putus.
7. Pendarahan (selepas disembelih):

– Masa minimum pendarahan haiwan ruminan (meragut) tidak kurang enam minit.
– Masa minimum ternakan poltri (jenis ayam dan itik) tidak kurang tiga minit.

C: Proses pembersihan:
1. Haiwan telah disembelih diletak dalam tong atau tempat khas yang tidak tercemar dari kotoran dan cukup udara (cara manual)
2. Haiwan mesti disahkan mati sebelum di celur atau dilapah.
3. Pastikan air celuran bersih dan tidak bertukar warna (bercampur darah dan najis).
4. Tempat pemotongan daging yang bersih.

D: Pasaran:
1. Daging tidak diangkut atau diletak bersama bahan-bahan tidak halal.
2. Daging tidak lebam, kehitaman atau rosak tisu dan organnya.
3. Jangan beli jika meragui kehalalannya.
4. Meneliti logo halal adalah pilihan terakhir (logo halal tidak menjamin produk yang dijual benar-benar halal).

sumber :
website – JAKIM, littlemishkah, Ihya ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali, Hadis 40.

 

  1. Disember 11, 2009 at 1:07 pm

    Assalamualaikum, nak mintak keizinan dari tuan blog ni,nak ambik artikel nak post kat blog saya…

  2. Abe
    November 14, 2010 at 3:28 pm

    Assalamualaikum,

    Menarik dan sangat berguna untuk dijadikan rujukan kepada umat islam ataupun bukan islam. Oleh itu saya dah linkkan post ini dalam blog saya.

    Terimakasih
    Berniaga Online halal lagi toyyiba pilihan kita.

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan komen