Utama > Tazkirah, Teladan Hidup > Memaafkan dan berbaik sangka

Memaafkan dan berbaik sangka

Abdullah bin Mas’ud;

“Wahai lidahku, berkatalah yang baik, nescaya kamu akan beruntung. Atau diam dan dengarlah, nescaya kamu selamat sebelum kamu menyesal.”
Katanya lagi; “Tiada yang lebih layak dipenjara lebih lama daripada lidah.”

Maafkan Aku!

Firman Allah swt;
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”(al-Hujurat: 10)

Maaf
didefinisikan sebagai pembebasan daripada sebarang tuntutan kesalahan (Kamus Dewan edisi keII) dan kerelaan melepaskan atau membebas­kan seseorang daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan (Kamus Dewan edisi keIV).

Para ulama telah menegaskan,

“Carilah 70 alasan untuk memaafkan sikap saudaramu. Jika hatimu masih tetap enggan menerimanya juga, maka kekerasan hatimu itu yang lebih patut disalahkan.”

Perkataan ‘maaf’ itu sendiri mempunyai makna yang amat mendalam dimana daripadanya akan munculnya kedamaian dan tersambungnya kembali silaturrahim yang terputus akibat perbuatan yang disengajakan mahupun sebaliknya. Ambillah pengajaran dari kisah pembukaan kota Mekah oleh Nabi Muhammad saw, penaklukan kembali Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayubi terhadap tentera salib dan penaklukan Konstantinopel(Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Semua penduduk yang tidak berdosa tidak ditawani malah dilepaskan dengan bayaran pembebasan diri sahaja. Padahal sekian lama mereka menindas orang Islam. Islam itu kan indah.

Allah berfirman;
…“Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”…(ash-Syura: 13)

Sehubungan dengan itu, kemaafan itu amat besar nilainya disisi Allah dan Islam. Bayangkan jika Allah itu tidak Maha Pemaaf, adakah terdapat belas kasihanNya terhadap hambanya yang yang melakukan dosa? Setiap manusia itu umumnya melakukan kesalahan dalam sedar mahupun tidak sedar. Tidakkah semua hambaNya itu akan dicampak ke neraka? Ingatlah Allah itu Maha Pemaaf dan mempunyai nama-nama yang baik dan kita seharusnya mengamalkan nilai ‘memaafkan’ dan ‘meminta maaf’ agar kita tidak berpecah belah.

Kemaafan terjadi apabila kita saling berbaik sangka terhadap sahabat-sahabat kita dan orang di sekeliling kita..

Dengan hanya husnu zhon,seorang ahli maksiat bisa menjadi ahli syurga..dan hanya juga dengan su’ zhon, seorang ahli ibadah bisa terhapus segala pahala.. Pilihan di tangan anda, maka hendaklah sentiasa bersangka baik sesama kita..

1. Sebuah cerita pengajaran indah dari buku At-Thoriq ilal Qulub (Bagaimana Menyentuh Hati) nukilan syeikh dakwah Abbas as-Sisi:
Dia adalah sebaik-baik teman, paling aktif ke masjid dan sangat menyintai teman-temannya. Tiba-tiba, lama sekali tidak Nampak batang hidungnya di tengah-tengah mereka. Ketika kemudian dia dapat berkumpul kembali, tiba-tiba seorang teman datang memaki-makinya. Dengan nada sedih dia katakan kepada temannya, “Kenapa baru sekarang kamu mahu menengokku? Ke mana saja kamu dan teman-teman selama ini? Mengapa tidak berusaha mencariku selama beberapa bulan terakhir ini. Sebenarnya aku sangat memerlukan kehadiran kalian di sampingku pada saat isteriku meninggal dunia, dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Aku memerlukan orang-orang yang akrab denganku pada saat kritikal seperti itu!”

Hal ini menjadi pelajaran berharga bagi ikhwan yang masih belum memenuhi kewajipan kepada ikhwannya yang lain dalam hal memantau keadaannya. Hal ini merupakan kewajipan paling minimum kerana Rasulullah telah bersabda, “Apabila dia tiada, maka carilah!”

Ini sekadar contoh. Seseorang yang lama tidak muncul dan tidak diketahui sebabnya, tidak akan jelas alasannya kecuali setelah menanyakannya.

Satu contoh lagi, sejumlah orang hidup bersama-sama dalam keadaan yang serba kekurangan, senasib sepenanggungan. Tiba-tiba, (telah menjadi sunnatullah bahawa manusia pasti akan saling berpisah) kerana tuntutan hidup, studi atau pekerjaan, kebersamaan itu akhirnya terhenti juga. Ternyata ada yang menganggap temannya ini sudah mulai mengambil jarak (menjauhkan diri), atau pergi kerana takut, atau kerana ukhuwwah telah mulai lemah, dan sebagainya. Sehingga timbullah bermacam-macam dugaan. Padahal kita dilarang melakukan hal tersebut. ALLAH berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. (surah al-Hujurat; 49:12)

Kemudian dia menghilang dari ingatan teman-temannya kerana mereka tidak memerhatikan haknya.

Setelah lama berselang masa, dan banyak peristiwa penting telah terjadi, sebagaimana biasanya dalam perjalanan dakwah, tiba-tiba mereka dikagetkan dengan munculnya teman lama mereka yang sudah sekian waktu menghilang. Kini dia berada di tengah-tengah mereka.

Dia mengorbankan jiwa dan hartanya dengan penuh ketulusan dan keberanian yang mengagumkan, bahkan membuat malu sebahagian yang belum memahami hakikat dakwah. Seseorang yang sudah merasakan nikmatnya dakwah, dakwah sudah menyatu dalam hati, perasaan dan fikirannya, maka dia akan menganggap murah semua yang ada padanya. Dakwah lebih mahal ketimbang semua yang dimiliki.

Seorang da’ie harus sentiasa husnu zhon, tidak merendahkan yang lain, atau merasakan dirinya lebih baik daripada yang lain dalam barisan dakwah. Bahkan seorang da’ie pada saat tertentu ada di hadapan, dan pada saat yang lain ada di barisan belakang.

Setiap orang yang pernah tersentuh roh dakwah nescaya akan tetap hidup bersama-sama dakwah sehingga menemui ALLAH. Kerana itu seorang da’ie harus sentiasa husnu zhon kepada sesama saudaranya dan menutup aibnya, sampai dia sedar dan kembali ke jalan yang benar. Sehingga ketika seorang da’ie kembali kepada teman-temannya, dia tetap menemui suasana saling menyintai. [1]

2. Pelajaran yang sangat berharga dari petikan kisah di atas ialah tentang pentingnya husnu zhon, apalagi dalam sebuah kelompok yang melaksanakan tugas amar ma’ruf nahi mungkar. Husnu zhon adalah suatu keperluan antara qiadah dan jundi, antara sesama ikhwah, sesama akhawat, malah antara ikhwah dengan akhawat.

3. Bayangkan sebuah jamaah dakwah yang penuh prasangka antara sesama ahlinya. Prasangka yang tiada asasnya. Apakah gerak kerja dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna? Lainlah jika seseorang itu memang memiliki qarinah untuk diwaspadai, seperti selalu menipu, etc.

4. Qiadah berprasangka terhadap laporan jundinya, jundi berprasangka terhadap amal qiadahnya, sesama ikhwah ataupun sesama akhawat berprasangka terhadap amal dakwah masing-masing. Atau ada juga yang entah kerana bisikan durjana dari mana, begitu skeptikal terhadap anggota yang lain jantina. Ikhwah begitu sangsi dengan akhawat dan sering mencari-cari kesalahan, dan akhawat juga pantang ada sedikit kekurangan dari pihak ikhwah, pasti akan dicanai habis-habisan dan digembar-gemburkan. Wal ‘iyadzu billah. Mudah-mudahan ALLAH mengampunkan kita.

5. Dalam sebuah hadith riwayat imam al-Bukhari dan Muslim, dikisahkan oleh Ummul Mukminin Safiyyah binti Huyay, sewaktu beliau berjalan bersama-sama Rasulullah pada waktu malam, mereka berpapasan dengan dua lelaki Anshar. Kedua-dua lelaki tersebut memberikan salam, lalu terus melaju. Melihatkan hal tersebut, Rasulullah memanggil kedua-dua lelaki itu dan berkata, “Sesungguhnya dia adalah Safiyyah binti Huyay.

Mereka berkata, “Ya Rasulullah, kami tidak berprasangka kepada kamu selain kebaikan!”

Baginda lantas bersabda, “Sesungguhnya syaitan mengalir dalam diri anak Adam sebagaimana darah mengalir dalam jasad. Dan sesungguhnya aku khuatir syaitan akan masuk atas kalian berdua.

6. Hadith ini menunjukkan perhatian Rasulullah yang sangat besar terhadap masalah prasangka buruk. Malah langkah pencegahan telah diambil sebelum prasangka tersebut sempat mengambil tempat dalam hati. Kerana prasangka buruk hanya memamah hati dan merosakkannya. Menukil kata-kata Syeikh Sa’id Hawwa` dalam kitab Tazkiyatun Nafs, saduran dari Ihya ‘Ulumuddin karangan imam al-Ghazali, ketika membicarakan tentang buruk sangka, “Kita harus menjaga diri dari prasangka buruk dan tuduhan orang-orang jahat, kerana mereka tidak berprasangka dengan semua orang kecuali dengan prasangka jahat. Jika anda melihat seseorang yang berprasangka buruk kepada orang lain dan mengungkit keaibannya, maka ketahuilah bahawa dialah orang yang buruk batinnya. Itulah refleksi keburukan batinnya, sehingga dia melihat orang lain dengan kaca matanya yang buruk. Sesungguhnya orang mukmin memberikan maaf dan menerima alasan orang lain. Sedangkan orang munafiq mencari-cari kekurangan dan kesalahan orang lain. Seorang mukmin bersikap berlapang dada terhadap semua makhluk.” [2]

7. Benarlah petikan di atas. Seorang muslim yang memiliki persangkaan buruk terhadap muslim yang lain hanya akan mencari-cari kesalahan. Setiap ungkapan kata dan amal perbuatan orang tersebut tidak betul di matanya. Pasti akan ada salah dan cacat cela yang terlihat. Lebih buruk lagi apabila perkataan dan perbuatannya disalah tafsir dan diintepretasikan mengikut selera sendiri. Tidakkah itu satu musibah?

8. Prasangka buruk juga berlaku apabila kita menilai masalah seseorang dengan kaca mata kita sendiri dan mengesampingkan sebarang faktor lain. Contoh mudah dari kisah pertama tadi, apabila telah lama tidak melihat ikhwah datang ke masjid, tanpa sebarang soal jawab, terus dimarahi dan dimaki. Contoh lain lagi apabila kita mudah menuduh seorang ikhwah atau akhawat telah futur, telah nampak gejala mutasaqith, mula tidak taat kepada qiadi, mula muncul sifat munafiq, tidak ikhlas, tiada semangat tadhiyyah, etc. hanya kerana seorang ikhwah atau akhawat tersebut berhalangan melaksanakan tugasan dakwah yang diamanahkan, sedangkan kendala yang dihadapi tergolong dalam keuzuran yang syar’i, atau kerana kondisi keluarga yang tidak mengizinkan. Semuanya ‘terlepas pandang’ hanya kerana persepsi sendiri. Tanpa soal jawab, tanpa budi bicara, hukuman terus dijatuhkan. Ini hanyalah sebahagian dari sekian contoh yang berlaku dalam medan dakwah di sekeliling kita.

9. Lain pula ceritanya dengan parti politik. Hanya kerana berbeza bendera, semangat kepartian kadang-kadang dijulang lebih tinggi dari persaudaraan Islam. Setiap isu yang berlaku pasti dinilai dengan kaca mata politik sebelum dinilai dengan kaca mata Islam. Walaupun terkadang parti lawan melakukan amal kebajikan dan perkara yang bertepatan dengan nash, pasti ada jua ruang untuk dikritik dan menyatakan ketidaksetujuan. Akhirnya permusuhan mengakibatkan perpecahan, dan seterusnya menatijahkan hilangkan kekuatan umat. Semuanya bermula dari benih prasangka yang disemai dalam jiwa. Walaupun berasal dari satu rumpun melayu yang menjadi kaum majoriti di Malaysia, kita dilihat lemah kerana tidak mampu bersatu. Saya sangat mengagumi tokoh seperti Tn. Guru Nik Abdul Aziz yang adil dalam menilai. Walaupun beliau adalah Mursyidul Am Parti PAS, namun beliau pernah memuji Tun Mahathir atas kelancangan Tun dalam beberapa isu seperti isu Palestin.

10. Apa gunanya membina iman dan ukhuwwah, andai prasangka buruk masih menjadi kulit yang melapisi hubungan tersebut. Di luar nampak lain, begitu rapat dan mesra bicara. Tapi di dalam pula lain, penuh persangkaan kosong dan sia-sia. Apakah perasaan mereka yang menjadi mangsa persangkaan kita? Dia telah ikhlas dalam berdakwah, telah banyak harta yang dikorbankannya, telah banyak masa yang diluangkan untuk urusan ini, begitu jujur membina ikatan persaudaraan… namun persangkaan negatif yang diterima. Amalnya dituduh tidak ikhlas, pengorbanannya dituduh kerana terpaksa, ukhuwwahnya dikata kerana manfaat peribadi, etc. Amal zahiriah yang telah nampak hasil seolah-olah sia-sia dan tidak dihargai kerana masalah batiniah yang dipertikai. Kerana itulah para ulama meletakkan kaedah penting, nahnu nahkum biz zhawahir, wallahu yatawallas sara`ir. Kita hanya bisa menghukum dari lahiriah yang nampak di mata, dan ALLAH lah yang bertanggungjawab ke atas urusan yang tersembunyi. Semuanya demi mengelakkan prasangka buruk.

11. Oleh itu jauhilah dari prasangka buruk yang tidak bersandarkan kepada sebarang asas/dalil/fakta yang jelas. Prasangka hanya datang dari hati yang prejudis dan busuk. Natijah yang dibawa hanyalah kebencian dan permusuhan. Manakala mangsa yang terkena prasangka juga akan sakit hatinya, sedih dan kecewa. Ukhuwwah islamiyah yang terbina sekian lama, bisa hancur dan runtuh dalam sekelip mata, sehingga kita sendiri tidak akan mempercayainya, hanya kerana hasutan syaitan untuk berprasangka buruk sesama kita.

12. Wallahul musta’an. Hidayah ALLAH jua yang diharapkan dalam mendidik jiwa dengan sikap bersangka baik sesama muslim. 1001 keuzuran yang kita fikirkan adalah lebih baik dari terus meletakkan kesalahan.

_____________________________________________

[1] Abbas Hassan as-Sisi, at-Toriq ilal Qulub. Edisi terjemahan ‘Bagaimana Menyentuh Hati’ terbitan Era Intermedia, cetakan keenam, 2004, m/s 161-164.
[2] Sa’id Hawwa, Al-Mustakhlas min Tazkiyatul Anfus. Edisi terjemahan, Tazkiyatun Nafs, terbitan Pena Pundi Aksara, cetakan ketujuh, 2008, m/s 176-177.
================================================================================
dipetik dari laman halaqah.net dan  kawankulat.multiply.com
  1. Januari 28, 2012 at 12:49 am

    Pintu kemaaf sentiasa terbuka

  2. yuniar haiti
    Februari 13, 2012 at 3:41 am

    alhamdulillah bertambah wawasan mdh2n pintu maaf selalu terbuka

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: