أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita seharian ada perkara yang perlu kita segerakan untuk dilaksanakan dan ada pula perkara yang perlu dijauhi dan ditinggalkan. Setiap perkara yang ditegah atau dilarang sebenarnya terdapat beberapa hikmah dan kebaikan samaada berbentuk luaran (fizikal) atau dalaman (hati dan jiwa)

Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur akan dimaafkan.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat”. (Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).
Kedua : Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.
Perlu biasakan memakai selipar atau terompak bila masuk ketandas atau bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk, supaya najis tidak dibawa keluar bilik air.
Ketiga : Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.
Di dalam kitab Sunan Abi Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum.”
Jika cawan atau pingan kita retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi.
Ini termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:
Kotoran yang biasanya ada dipermukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbinng, lain halnya bahagian tepi cawan yang masih utuh.
1. Ia boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya biasa terhimpun di bahagian cawan yang pecah, kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang masih baik.
3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada baiknya.
4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian tersebut.
Adapun bernafas dalam air minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai orang lain, terutama sekali orang yang bau mulutnya mengalami perubahan buruk. Pada dasarnya, secara umum nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air tersebut.
Justeru, Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah melarang meniup air dan bernafas dalam air minum.”
Keempat : Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi makanan yang dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan adalah menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk.
Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit.
Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)
Kelima : Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki dan keberkatan).
Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?”
Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi:
‘اللهم بارك لأمتي في بكورها’
(Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi).
Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat Subuh.
Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:
يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس ‘
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)
Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:
باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح’
“Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan.”
Oleh itu para fuqaha’ menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.
Keenam : Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.
Dari ‘Amr bin Abu Salamah radhiallahu ‘anhuma, katanya:
“Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya:
“Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu.’ Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: “Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i)
Ketujuh : Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik.
Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah.
“Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah”
maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)
Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.
Kelapan : Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah sahaja.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Jika engkau memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan. Jika engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)
Kesembilan : Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
Allah Subhanahu Wa Taala berfirman maksudnya :
” Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.”( Surah An-Nur ayat 30-31 )
Kesepuluh : Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Komen Terbaru