Utama > Isu Semasa, Perjalanan Hidup, Tazkirah, Teladan Hidup > Tahun Baru : Antara Budaya dan Perubahan

Tahun Baru : Antara Budaya dan Perubahan

Assalamualaikum,

Setiap tahun pasti kita tidak terlepas dari menyambut tahun baru Hijrah ataupun Masihi. Tahun baru hijrah seringkali disedari apabila hari tersebut diberikan cuti dan umat islam meneruskan hidup mereka dengan tanpa pengajaran dari tahun baru tersebut. Berlainan dengan tahun baru masihi yang dijadikan kalendar setiap negara dan disambut besar-besaran oleh negara.

Wajarkah kita, umat ISLAM mebudayakan sambutan penjajah?

Umat ISLAM patut berbangga kerana kita mempunyai kalendar kita sendiri iaitu kalendar Hijrah. Dan digalakkan kita meraikan awal muharram supaya kita dapat mengambil pengajaran dari kisah Penghijrahan RASULULLAH SAW.


PERBEZAAN ANTARA KALENDAR MASIHI DAN HIJRAH

Perkembangan takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan sains. Dalam hal ini, ada dua cara pengiraan takwim, iaitu dengan menggunakan matahari (syamsiah atau solar) dan bulan (qamariah atau lunar).

Berkenaan penetapan takwim, Allah berfirman yang membawa maksud:

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.” (Surah Yunus, ayat 5)

================================================================

Kalendar Masihi

  • orang Rom mempopularkan penggunaan takwim solar dan pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa bandar Rom diasaskan.Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe condita (auc) yang bermaksud “dari tarikh pengasasan bandar”. Andai kata tarikh ini masih dipakai hari ini, kita sekarang berada pada tahun 2757 auc.
  • Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masihi, beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian (bersempena dengan namanya) pada tahun 709 auc atau tahun 46 sebelum Masihi. Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada takwim yang sedia ada pada ketika itu.Takwim baru ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun.Namun begitu, sejarah merekodkan bahawa kesilapan berlaku dalam pengiraan takwim Julian ini apabila tambahan satu hari pada setiap empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada setiap tiga tahun. Ini berlaku antara tahun 43 sebelum Masihi sehingga tahun 10 sebelum Masihi.
  • Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan dan hanya disambung pada tahun empat selepas Masihi. Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29 hari dan 30 hari bagi tahun lompat. Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah satu hari. Ini menjadikan jumlah hari dalam bulan Ogos sebanyak 31 sama seperti bulan Julai. Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada bulan dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan Ogos (sempena Augustus Caesar).
  • Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim Julian yang kemudian turut diterima pakai gereja Kristian. Pada tahun 527 Masihi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini atau AD (yang memulakan tarikh 1 AD sempena kelahiran Isa al-Masih). Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau Masihi.
  • Menariknya, berlaku kekeliruan dengan tarikh lahirnya Nabi Isa apabila Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun 754 auc tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus tidak tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun. Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25 hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun, ini jauh berbeza dengan panjang sebenar bagi setahun. Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar tempoh satu tahun dipertikaikan. Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422 hari dalam setahun manakala satu lagi pendapat mengatakan bahawa panjang purata setahun ialah 365.2424 hari. Beza nilai ini ialah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat) dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat). Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak menyebabkan ia tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan ekuinoks yang merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi dan ini menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran Kristian.
  • Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas. Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian kepada keadaan gawat itu dan kajian dilakukan sehinggalah Gregory XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik. Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai “Takwim Gregorian”.


Perubahan yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

  1. Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika itu menjadikan hari yang menyusul selepas Khamis, 4 Oktober 1582 sebagai Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober 1582 jika menurut kiraan Julian).
  2. Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun itu mestilah boleh dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada boleh dibahagi dengan 400.
  3. Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 ialah tahun lompat melainkan jika boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400.
  4. Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100.
  5. Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun.


  • Penggunaan takwim berkenaantersebar serta-merta ke negara Roman Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan Luxembourg dan secara berperingkat digunakan di negara seperti Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary.
  • Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan perubahan pada tarikh dilakukan pada Khamis 14 September 1752 (tarikh ini ditukarkan daripada 2 September 1752).
  • Koloni British di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu, turut melakukan perubahan itu.
  • Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh bagi satu hari yang sama antara abad ke-16 dan ke-18, bergantung kepada takwim mana yang digunakan.
  • Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan dengan “OS” yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim Gregorian ditandakan dengan “NS” atau new style.
  • Negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur (antara 1912 dan 1919), Russia 1918) dan Turki (1927).
  • Ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian ialah ringkasan kepada “Anni Domini Nostri Jesu Christi” yang bermaksud “dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ.”
  • Takwim ini mempunyai konotasi kepada agama Kristain, oleh sebab itu mungkin menyebabkan rasa tidak senang hati di kalangan penganut Islam dan Yahudi khususnya, maka ringkasan AD diganti dengan CE iaitu “Christian Era” manakala BC (“Before Christ”) diganti dengan BCE (untuk Before Christian Era).
  • Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya, ringkasan SM (sebelum Masihi) dan TM (tahun Masihi) lebih kerap digunakan.
  • Bagi penganut Kristian, sambutan tahun baru mempunyai konotasi keagamaan kerana tahun baru menandakan ulang tahun kelahiran al-Masih namun, kepada orang lain sambutan itu mempunyai konotasi yang berbeza.

================================================================

Kalendar Hijrah

  • Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun.
  • Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
  • Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.
  • Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.
  • Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.
  • Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.
  • Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.
  • Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
  • Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.
  • Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar,setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
  • Pada tahun kesembilan Hijrah, Allah berfirman akan pengharaman mengubah pengharaman bulan seperti tertera dalam al-Quran dalam Surah At-Taubah:36-37


“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”


  • Pengharaman ini turut diulang baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam khutbah terakhir baginda di Arafah iaitu ketika berlangsungnya Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah 10H di Makkah (perenggan ini sering dibuang daripada khutbah oleh penyunting moden kerana dianggap tidak penting):

Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban.

  • Terdapat tiga bulan suci (atau bulan haram) berturut-turut yang dinyatakan oleh baginda iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram lantas mengelakkan pertambahan sebarang bulan sebelum Muharram. Bulan suci yang tunggal lain ialah Rejab. Bulan-bulan ini dianggap suci dalam kalendar Islam baru dan juga kalendar ketika zaman jahiliyah Makkah yang dari itu ia diterbitkan dengan membuang bulan-bulan yang tidak perlu atau ditambah-tambah pada penghujung 10 H. Turutan bulan yang ditambah-tambah, sebelum dibuang, tidaklah diketahui.
  • Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.
  1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
    • Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
  2. Safar (ﺻﻔﺮ)
    • Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
  3. Rabiulawal (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﻭﻝ)
    • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
  4. Rabiulakhir (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﺧﻴﺮ/’ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
    • Bulan kedua musim bunga.
  5. Jamadilawal (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﻭﻝ)
    • Bulan pertama musim panas. “Jumada” bermaksud kering.
  6. Jamadilakhir (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﺧﻴﺭ/ﺟﻤاﺪ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
    • Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
  7. Rejab (ﺭﺟﺐ)
    • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
  8. Syaaban (ﺷﻌﺒاﻦ)
    • Bulan ini terbit dari perkataan “syu’ba”, bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
  9. Ramadan (ﺭﻣﻀاﻦ)
    • Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
  10. Syawal (ﺷﻮﺍﻝ)
    • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
  11. Zulkaedah (ﺫﻭ ﺍﻟﻘﻌﺪة)
    • Diambil daripada perkataan “qa’ada” bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
  12. Zulhijah (ﺫﻭ ﺍﻟﺤﺠة)
    • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

====================================================================

TAHUN BARU DAN KITA

Tahun baru Masihi yang baru sahaja berlalu disambut dengan begitu meriah, persembahan konsert diadakan di sana sini sebelum disusuli percikan bunga api apabila jam tepat 12 malam pada 31 Disember lalu.

Suasana sebegini seolah-olah menunjukkan bahawa tidak akan sah sambutan tahun baru tanpa penganjuran dua acara hiburan ini.

Hakikatnya, itulah suasananya acap kali sambutan Tahun Baru Masihi. Bagaimana pula dengan sambutan Tahun Baru Islam iaitu 1 Muharam yang diraikan hari ini?

Paling biasa dilakukan ialah membacakan doa akhir tahun dan doa awal tahun sehari sebelumnya. Malah sesuatu yang tidak pelik dan menyedihkan boleh berlaku, apabila ada di kalangan umat Islam kita yang hanya menyedari ketibaan bulan ini yang dikenali juga sebagai Maal Hijrah hanya kerana ia adalah hari cuti umum.

Jika dilihat kepada sejarah, 2004 misalnya menyaksikan banyak pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku di Iraq, Sudan, Russia, Thailand dan beberapa negara lain.

Bermulanya 2005 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik tetapi yang menjadi persoalan sekarang, adakah wajar sambutan tahun baru disambut oleh orang Islam dengan pesta, hiburan dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.

Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas syariat Islam yang dilarang dan ditegah.

Menurut pandangan Islam, peredaran masa ialah satu proses alam yang ditetapkan Allah bagi dunia ini.

Malah di dalam al-Quran banyak ayat yang diturunkan menegaskan pentingnya masa dalam kehidupan manusia.

Jika ditinjau secara logik, 1 Januari hanyalah satu hari dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan besar kepada kehidupan manusia melainkan hanya menjadi tanda bermulanya era baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwim sendiri apabila Saidina Umar al-Khattab menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam.

Pengiraan takwim Islam berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan berbeza dengan pengiraan sistem AD dan CE yang melihat kepada kedudukan dan pergerakan matahari.

Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari kebesarannya banyak membabitkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.

Golongan muda nampaknya begitu ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama Islam.

Sambutan tahun baru perlu dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik malangnya apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak.

Satu perkara yang mungkin wajar direnungkan ialah mengapa orang Islam begitu beria meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharam?

Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah satu cuti umum dalam kalendar tahunan kita semata-mata?

Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed berkata, seharusnya, peristiwa hijrah yang diambil sempena permulaan Tahun Baru Islam ini dikenang oleh umat Islam setiap tahun.

Apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharam, pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam perlu dihayati.

“Ketulenan iman para sahabat itulah yang perlu dipelajari serta dijadikan penghayatan untuk memastikan kesuburan iman. Yang pasti, pengajaran yang paling besar dari peristiwa hijrah ini ialah kekuatan iman yang perlu dijadikan benteng dalam kehidupan seorang Muslim,“ katanya kepada Mega.

Menurut Zahazan, kita tentu tertanya-tanya apakah rahsia kejelasan matlamat dan kesungguhan generasi al-Quran yang unik ini?

Jawapannya terkandung di dalam buku karya seorang sasterawan Arab bertajuk, Lelaki-lelaki di sekeliling Nabi Muhammad s.a.w (Rijal haula al-Rasul s.a.w.).

“Beliau membuat kesimpulan penting tentang generasi salaf yang hebat itu dengan kata-katanya: Kelebihan yang mereka miliki selain daripada iman yang menggunung ialah himmah (tekad) yang kuat, pantang menyerah, tidak kalah dalam menghadapi kesulitan, tidak mudah puas sebelum mendapatkan yang dituju dan istiqamah,” jelas Zahazan.

Mengulas beberapa peristiwa penting dalam lipatan peristiwa hijrah yang wajar menjadi renungan kita bersama, kata Zahazan, ia dimulai dengan perancangan rapi Nabi Muhammad s.a.w. dan Abu Bakar.

Baginda yang memiliki peribadi unggul serta mendapat wahyu telah menyusun perjalanan untuk berhijrah dengan panduan wahyu dengan melalui perjalanan yang mencabar.

Kecerdikan Abu Bakar menyediakan kenderaan untuk perjalanannya dengan Rasulullah dan keprihatinannya melindungi Baginda sepanjang perjalanan juga wajar menjadi pengajaran buat umat Islam bahawa kecintaan terhadap Nabi tidak seharusnya memadai setakat ungkapan dan slogan semata-mata. Ia memerlukan pengorbanan yang sejati.

Selain itu, peristiwa terjerumusnya kuda Suraqah sewaktu memburu Nabi dan Abu Bakar juga mengandungi bukti jaminan kesinambungan dakwah Nabi dan umat Baginda walaupun diperangi musuh.

Firman-Nya:

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (al-Saff: 8  )

Sambutan hangat kepada rombongan Baginda di Madinah juga menampakkan kesungguhan golongan Ansar dan Muhajirin mentaati Baginda dalam segenap urusan dari yang kecil melibatkan makanan yang dihidangkan keluarga Abu Ayyub al-Ansariy hinggalah kepada pertelingkahan dalam urusan pemerintahan. Ini dijelaskan dalam firman Allah dalam surah al-Nisa’ : ayat 65.

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. Surah An Nisa ayat 65

Menjelaskan makna hakikat hijrah bagi mereka yang menuju Allah (salikin), kata Zahazan, apabila manusia memikirkan objektif hidup adalah untuk memenuhi sasarannya, dia sebenarnya tersasar dari misi hidupnya sebagai khalifah Allah. Pandangan sedemikian menandakan bahawa dia belum berhijrah atau dalam konteks hakiki dia masih jalan di satu tempat tanpa ada perubahan.

Syeikh Ibn Athoillah menjelaskan hakikat ini dalam Syarah Hikamnya, “Jangan kamu hijrah dari suatu keadaan kepada keadaan lain, kerana yang demikian, menyebabkan keadaan kamu seperti keldai mengisar gandum, dia terus berjalan, padahal sebenarnya ia jalan di tempat yang sama!”

Kata Zahazan, hamba yang baik tidak boleh merasa dirinya mampu melakukan ibadah dengan kekuatan yang ada pada dirinya, tanpa menyandarkan kepada Allah. Kerana hakikatnya, seseorang itu tidak mempunyai daya dan kekuatan apa pun. Hanya Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Puncak perasaan ibadah seorang hamba apabila sampai ke makam al-Ihsan menyebabkan dia merasai dengan yakin bahawa Allah memerhatikannya.

Pelaksanaan ibadah yang menepati kualiti ini menyebabkan seseorang mengerjakan ibadah di atas rasa tanggungjawab kehambaan.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi yang bermaksud:

Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau menikahi seorang wanita maka hijrahnya itu akan dinilai sesuai dengan tujuan hijrahnya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

“Hasil perasaan murabatullah (rasa kebersamaan Allah) yang mengekorinya menuntutnya mengerjakan ibadah dalam bentuk yang paling menepati kehendak-Nya dengan panduan daripada ibadah Rasulullah dan golongan salafussoleh. Semua itu cukup menjadi panduan komprehensif untuknya dalam kehidupan,” kata Zahazan.

Lantaran itu, tambahnya, perlu usaha terus menerus untuk meningkatkan kualiti amal dan ibadah. Daripada am menjadi khusus, dari khusus menjadi khususul khusus seperti yang dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam tingkatan Mukmin yang berpuasa. Walaupun perbincangan difokuskan kepada puasa, namun ibadah yang lain juga wajar ditimbang dengan neraca yang sama.

Syarat bagi orang yang berhijrah menuju Allah ialah harus mengalihkan pandangannya daripada makhluk dan matlamat yang berkaitan dengan keduniaan kepada Allah s.w.t dan kepentingan akhiratnya.

Perlu diingat, perjalanan menuju Allah memang penuh dengan ujian dan cubaan. Maka sesiapapun harus sabar, tabah dan tawakal dalam menghadapinya. Terkadang Allah sengaja menguji hamba-Nya dengan pelbagai macam cubaan dan ujian hanya kerana Ia ingin tahu sejauhmana kesungguhan niat hamba-Nya.

Hal ini dijelaskan dalam surah al-Ankabut ayat kedua yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Dalam surah yang sama pada penghujungnya Allah s.w.t. berjanji dengan firman-Nya:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (al-Ankabut: 69)

Menurut Zahazan, maka beruntunglah golongan yang berjaya menghadapi segala ujian sejak awal hingga akhir sebelum dikurniakan Allah buatnya hidayah, agar dia kuat menghadapi ujian dunia dengan aneka ragamnya itu.

Di samping itu, dalam berhijrah menuju Allah janganlah kita mudah tertipu. Baik oleh hebatnya duniawi dan hiasannya. Ini kerana semua itu dapat menyebabkan terhentinya perjalanan.

Jadikanlah Allah sebagai tujuan akhir daripada hijrah yang hakiki, sehingga akan memperoleh yang hakiki pula. Jadikanlah Allah sebagai puncak tujuan akhir hijrah bagi orang-orang yang rindu perjumpaan dengan-Nya, kerana Dia yang awal, Dia pula yang paling akhir.

“Dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu). ” (an-Najm: 42)

Rujukan tulisan

  1. Ustaz Zainuddin Hashim
  2. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh  (Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM))
  3. Ustaz Zahazan Mohamed (Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM))
  4. Zuarida Mohyin
About these ads
  1. Disember 30, 2009 at 11:45 pm

    info yg menarik…

    actually..dua-dua kalander pun bagus, ada kelebihan masing-masing…kalander hijrah penting bagi nelayan sebab pergerakan bulan mempengaruhi pasang surut dilautan manakala kalander masihi pula penting kepada petani untuk menentukan waktu yg sesuai untuk bercucuk tanam dan menuai…kerana mudah meramalkan musim tengkujuh,kemarau dan sebagainya…

    kalau untuk kita yg kerja makan gaji nie, kalender masihi penting utk ramalkan bila dapat gaji dan kalander hijrah pula lebih kepada hal-hal keagamaan…

  2. ~hikari
    Januari 2, 2010 at 1:21 am

    good topic…hehe..

    • Januari 2, 2010 at 1:38 am

      ya..lepas ni ‘hikari’ bagi la lagi topik2 yang menarik..hehe
      oke ;D

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers

%d bloggers like this: